Thursday, April 24, 2014

Honorarium Pertama - Dewan Bahasa dan Pustaka

Honorarium pertama saya dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Alhamdulillah, Ya Allah.

Kumbang sama kumbang, bunga layu di tangkai - Noridah Kamari

"Kumbang sama kumbang, bunga layu di tangkai."
Tajuk sahaja sudah mampu menarik perhatian pembaca. Belum lagi 'membedah' cerpen iaitu membawa isu tentang percintaan sama kaum! Karya Puan 
Noridah Kamari. :)

Artikel BH SG- Puah Nisah Haron

Dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai seorg guru pelatih, saya baru mempunyai masa untuk membaca artikel BH semalam tentang salah satu penulis kegemaran saya Puan Nisah Haron yang juga pembimbing saya sewaktu bengkel penulisan DBP di Melaka, tahun lepas
Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi peluang mengenali seorang penulis terkenal yang rendah diri seperti beliau.
 
"Kembali kepada niat asal kita menulis. Yang penting, kita mahu sampaikan sesuatu yang baik. Bakat adalah amanah. Sebagai seorang Islam, ini juga cara kita beramal jariah dan beribadah."
 
:')
Salam sayang!

Thursday, October 03, 2013

Anugerah Persuratan 2013


Pertama kali menghantar sajak-sajakku ke Anugerah Persuratan. Selangkah ke hadapan. 

Thursday, June 20, 2013

Erti Persahabatan

Erti Persahabatan


Perjalanan di dalam bas yang panjang tadi telah membuatku fikir erti sebenar sebuah persahabatan. Ungkapan 'nilai persahabatan' seringkali kita dengar. Namun, apakah sebenarnya nilai sebuah persahabatan. Sepanjang 22 tahun di atas muka bumi ini, ramai telah aku temu dalam kehidupan. Persahabatanku yang 'paling lama' mungkin adalah temanku sejak tadika lagi. Saat tangisan tersedu-sedan (hingga tertelan hingus sendiri) kerana dihantar ke sekolah. Pada waktu itu sahaja, kita telah kenal erti persahabatan. Dari hari ke hari, kita mula gembira ke sekolah untuk bertemu rakan-rakan. Sehingga sekarang, apabila kita berjumpa, kenangan manis masih lagi diungkapkan. Apabila umur menjangka dewasa, kita bertemu lagi dengan rakan baru. Namun, tidak sesaatpun kita lupa teman kita waktu tadika dahulu. Allah SWT itu maha melimpahkan nikmat (Al-Basit) kerana menciptakan otak kita yang boleh ingat teman-teman atau orang yang kita jumpa dalam hidup kita. 

Apakah takrifan 'teman' untukmu? 

Pada aku, teman itu yang menghargai kehadiran kita dalam hidupnya. Dia tahu kita sentiasa ada walaupun kita jarang menghubungi antara satu sama lain disebabkan jadual harian yang padat. Seorang teman itu juga menghormati kita, walaupun dia tahu kekurangan kita dan meletakkannya ke tepi. Seorang teman itu sentiasa membimbing kita ke jalan yang lebih baik. Kadang-kala juga, teman tersebut telah dilupakan sebagai teman tetapi dianggap sebagai adik-beradik kita sendiri. 

Mungkin sekali takrifan 'teman' itu berbeza untuk setiap individu. Mungkin juga terlalu ketara perbezaannya, bagimu.... 


Thursday, March 14, 2013

Sinar di dalam kekaburan


Lihat di situ
Sinar cahaya memecah kegelapan
Retak lerai kekelaman
Cari punca sinar harapan
Hala tuju sebuah permulaan

Dengar guntur itu
Mana dia gemuruhnya
Teliti gegendang telinga
Usah terus berkilah
Mara terus ke arahnya

Sentuh kelembutan itu
Mampukah engkau rasa?
Atau terus ingin berdusta?
Selanjar sambung alpa
Kesinambungan episod celaka

Jari terus menunding
Mata hanya menjeling
Kepala dipaling
Walau penyelesaian terguling-guling
Guling-gelantang, sentiasa berpusing

Mac 2013

Wednesday, February 20, 2013

Kereta Api Laju

Pembinaan kereta api laju ke KL. ia pasti mempermudahkan. Namun, adakah agenda lain disebaliknya? Adakah mungkin pada tahun 2020, rakyat semakin ramai sehinggakan hendak membelanja pun menyusahkan? Mungkinkah ketandusan peluang pekerjaan jadi ada di antara kita boleh ke seberang mencari kerja? Mencari keriangan hanya sementara? Berbelanja bersuka ria dan selepas itu balik semula ke tanah ini dan hadapi tekanan yang berterusan. Kita nantikan sahaja.


Pemantasan masa
Menghubungkan kita
Dengan landasan besi
Mudah dikunjungi
Apa sebabnya?
Apa alasannya?

Penyilap, penokoh
Terus berheboh-heboh
Yang lain gembira
Tanpa ketahui agenda
Diberi gula-gula
Terus riang ketawa

Pulau makin dikerumuni
Hilang keindahan murni
Dibina landasan besi
Mudah kita pergi
Mencari ceria
Mencari pesta
Hanya sementara


Monday, February 04, 2013

Penghijrahanku bersama si Hijab.


Penghijrahanku bersama si Hijab.

Aku percaya setiap perkara yang baik harus ada titik permulaan. Mungkin, ada yang bertanya mengapa menunjukkan perubahan yang ‘drastik’ secara tiba-tiba. Si minah motor yang pernah memakai seluar koyak di lutut, baju singkat, bangga dengan rambutnya yang panjang dan secara tiba-tiba berubah menjadi si gadis berhijab labuh, menutup auratnya, tidak memaparkan lagi rambutnya yang panjang dan cantik itu lagi.

Lumrah kehidupan. Setiap apa yang kita lakukan mesti ada yang mengata secara negatif, namun, kali ini aku nekad bahawa kata-kata tersebut tidak mungkin akan menjatuhkanku. Sebaliknya, kata-kata yang membina sahaja menyerap masuk ke jiwaku. Alhamdulillah, aku percaya, kalau jalan tersebut membawa ke arah kebaikan, Allah SWT akan membantu dan penghijrahanku ini membuktikan sedemikian. Pada mulanya memang terasa janggalnya. Apakan tidak, almari penuh dengan baju yang tidak menutup aurat, tudung pun hanya cukup untuk dipakai ke masjid bagi solat tarawikh, ceramah agama, mengaji atau pergi melawat kematian. Seluar juga banyak yang kurang sesuai. Namun, Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan, ada yang memberi tudung, pin-pin yang berwarna-warni, baju yang sesuai. Ketahuilah bahawa insan-insan ini akan sentiasa dalam benak fikiranku kerana telah memudahkan diriku menuju ke arah yang lebih mulia.

Bila ada yang bertanya mengapa aku tiba-tiba menunjukkan perubahan, aku hanya mampu tergamam dan berdiam diri. Terlalu banyak alasan yang berlegar di ruang fikiranku. Dahulu, aku pernah mengatakan, “pakai tudung tidak semestinya baik, tak pakai tudung tidak semestinya jahat”. Namun, dari hari ke hari, aku mula memikirkan. “sekurang-kurangnya, dia memakai tudung, menutup auratnya” Dari situ pula, aku mula memikirkan tentang dosa-dosa yang ditanggung ayah kerana auratku yang ‘ditayangkan’ sesuka hati. Ayah yang bangun sebelum fajar hanya untuk memberi kami kehidupan yang sempurna. Dari situ, hatiku mula remuk, mula menyesal. Menyesal akan setiap kesilapan yang pernah aku lakukan, secara terang-terangan atau hanya sang Pencipta sahaja yang tahu.

Aku juga merasakan bahawa Allah SWT sudah pun memberikan peluang kedua kepadaku selepas terselamat dalam kemalangan tempoh hari. Namun, sayangnya, aku mengambil masa yang agak lama untuk menyedarinya. Aku masih lagi kabur. Masih diselimuti oleh keresahan. Bagaimana mungkin nasibku di alam yang kekal itu jika ajalku sampai pada saat itu? Menemui kemalangan dalam keadaan berseluar hanya sampai di lutut, berbaju ketat, tidak menutup aurat. Apa mungkin yang akan keluargaku hadapi? Cacian? Malu? Kematian satu-satu sahaja anak dara mereka dalam keadaan sedemikian. Sesungguhnya, peluang kedua ini harus dimanfaatkan, harus disyukuri, bukan diletak ke tepi selepas pulih seperti sedia kala.

Biar orang mengatakan bahawa aku berhijab kerana ‘kalah’ dengan tekanan suasana di sekolah, kerana dipaksa oleh ‘seseorang’, kerana harus lakukan sedemikian supaya aku kelihatan ‘indah’ di hadapan segolongan insan, kerana aku ingin menjadi seorang guru, kerana aku ingin dipandang ‘baik’.
Biarkan..
Kerana aku..
Berhijab..
Kerana..
Allah SWT.

Kepada yang telah menyokongku, kata-kata indah tidak mampu untuk membalas budi baikmu. Aku hanya berdoa kerana aku merasakan, balasan baik dari Allah SWT merupakan yang terbaik untukmu. Terima kasih wahai saudara sedarah denganku, rakan-rakanku, guru-guru yang aku hormati dan penyeri hatiku. Semestinya, perubahan ini pastinya dari doa ibu dan ayahku. Semoga Allah SWT memberi mereka kesihatan yang baik dan sentiasa di laluan kehidupan yang diberkati Allah SWT. In shaa Allah, akan kita pimpin tangan bersama, seiringan, sekeluarga, menuju ke Jannah.

Kepada penyeri hatiku, terima kasih kerana menerimaku seadanya, menyokong semua keputusanku, memperbaiki diriku dari pelbagai sudut. Semoga perjalanan kita dipermudahkan, in shaa Allah.

Ya Allah, berkatilah penghijrahanku. Ampunkan dosa-dosaku yang silam. Terima kasih atas segala yang telah Engkau berikan kepadaku.


Friday, January 18, 2013

Impian

Aku, engkau, kita bersama
Menuju terus ke satu arah
Tampak gemerlapan, sungguh indah
Ayuh, semua siap siaga.

Hulurkan tangan, sambut sapaan
Letakkan ke tepi semua halangan
Kita tempuh segala rintangan
Jadikan ia satu cabaran.

Tulusnya hati, penuh murni
Keluhuran sentiasa akan diamali
Jangan sekali tercetusnya dengki
Pabila melihat yang lain kecapi

Yakin dengan rezeki Tuhan
Usah sangsi tentang kekuasaan
Impian pasti menjadi kenyataan
Jika diiringkan dengan kegigihan